Salah seorang daripada tiga suspek dirakam percakapan oleh pegawai MCMC.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga individu telah dikenakan kompaun
berjumlah RM25,000 setiap seorang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik komen yang bersifat lucah melalui Facebook.

Hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati, kandungan yang dimuat naik pada platform media sosial ketiga-tiga individu tersebut melibatkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi kepada seorang doktor.

“Penggunaan perkataan lucah tersebut ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom.

“Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati, atau mengganggu orang lain yang
mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.” kata MCMC dalam satu kenyataan.

Justeru, MCMC ingin mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata- kata jelik dan menjijikkan atau dalam kes ini kata-kata yang bersifat seksual tentang alat sulit bayi perempuan adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan
melanggar undang-undang.

Orang ramai diseru untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang melibatkan kanak-kanak.

MCMC terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette