KUALA LUMPUR – Lima pemilik dan seorang penjaga premis perniagaan yang menggunakan ‘lesen ali baba’ didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 selepas mengaku bersalah menyogok penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas masing-masing didakwa atas satu pertuduhan utama di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (KK) di dua mahkamah berbeza di sini hari ini.

Di Mahkamah Sesyen Jenayah 14, tiga lelaki warga tempatan, Romzi Abidin, 53, Azhar Abu Bakar, 59 dan Idrus Muhamad, 38, yang merupakan pemilik premis perniagaan di Bukit Bintang telah didakwa menyogok seorang pembantu penguat kuasa DBKL, Mohd Zahaymie Zakaria bagi mengelak dikenakan tindakan  kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, menggaji warga asing tanpa permit serta mengambil warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Romzi didakwa telah menyogok dengan memberikan wang rasuah RM500 manakala Azhar dan Idrus masing-masing RM200 kepada Mohd Zahaymie yang berkhidmat di Seksyen Integriti dan Standard DBKL dalam pemeriksaan dijalankan antara Februari hingga Julai 2023.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Romzi, manakala Azhar dan Idrus masing-masing dikenakan denda RM6,000.

Hakim turut memerintahkan agar ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman satu bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, Suzana turut memerintahkan agar semua wang rasuah berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM900 dilucuthak keada Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Hakim Rozina Ayub menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap warga China, Teng Hui, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan menyogok wang RM500 kepada Mohd Zahaymie sekitar Januari 2023.

Rozina juga turut menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM8,000 kepada seorang pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (PR) iaitu Jamaludin Asim, 58, serta warga tempatan, K. Punithan, 43, kerana menyogok wang RM500 dan RM300 kepada Mohd Zahaymie ketika pemeriksaan dijalankan pada Oktober 2022 dan Jun 2023.

Hakim turut mengarahkan ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara antara tiga minggu hingga tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Rozina turut mengarahkan wang rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM1,300 dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Pertuduhan terhadap semua tertuduh dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras serta Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Ashraf Mustafa dan Afiqah Ab Razak.

Semalam, keenam-enam tertuduh telah ditahan dalam operasi khas iaitu Op Star dijalankan SPRM Kuala Lumpur dengan kerjasama DBKL.

Operasi berkenaan memberi tumpuan untuk menahan pemilik dan penjaga premis perniagaan yang beroperasi menggunakan ‘lesen ali baba’ serta memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan. – MalaysiaGazette