Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru para pemain media dan semua pemegang taruhnya untuk terus bersandarkan kepada prinsip dan etika kewartawanan yang tinggi dan berhemah atas setiap penerbitan yang dikeluarkan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, terbitan berita yang salah, laporan yang selektif, bias dan tidak tepat tentu sekali merencatkan keyakinan awam kepada nilai kewartawanan yang bertanggungjawab.

Malah, jelas beliau, ia juga akan mencemarkan integriti lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama baik dan keperibadian seseorang atau sesebuah institusi.

“Saya juga berharap laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif seperti yang dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, kes saman Ahmad Zahid terhadap portal berita Malaysiakini diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid dipetik berkata, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut kes itu, Ahmad Zahid berkata, beliau memfailkan saman terhadap MalaysiaKini pada 24 Mac 2021 bersabit dengan penerbitan laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif berkaitan prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur (22 laporan kesememuanya).

Bagaimanapun, jelasnya, oleh kerana prosiding jenayah tersebut telah dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah pada 4 September tahun lalu, beliau telah dinasihatkan oleh pihak peguam untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah terhadap Malaysiakini.

Ujarnya, ia bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak yang terlibat.

“Walaupun tindakan yang dilakukan oleh defendan-defendan telah mencemar nama baik dan memberikan sentimen negatif terhadap diri saya, namun setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu ini dan berharap defendan-defendan lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan-laporan yang diterbitkan terhadap saya selepas ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada pihak mahkamah dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat sepanjang prosiding ini berlangsung yang pastinya tertib menjalankan tugasan dalam menegakkan keadilan dan kesaksamaan rakyat keseluruhannya. – MalaysiaGazette