KUALA LUMPUR – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyorok di dalam tandas wanita bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melakukan serbuan di pusat snuker di Taman Puchong Utama, Puchong, di sini, semalam.
Semasa ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, lelaki berusia 20-an itu memberi pelbagai alasan bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut menemukan barang peribadinya di kauter premis terbabit.
Ia sekali gus membongkar penipuan pemuda Indonesia itu yang merupakan pekerja pusat snuker berkenaan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, lelaki terbabit antara enam PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan di 14 premis di sekitar Shah Alam dan Puchong bermula jam 11 pagi.
Katanya, antara lokasi serbuan melibatkan premis perniagaan peralatan perkakasan, kedai gunting rambut, pusat snuker, bengkel, kedai gunting, restoran serta kilang proses makanan.
Menurut Khairul Aminus, empat lelaki dan dua wanita yang masing-masing terdiri daripada tiga warga Indonesia, dua Myanmar dan seorang Bangladesh, berusia 20 hingga 40-an itu dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
“Antara kesalahan yang dikesan ke atas mereka ialah tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.-MalaysiaGazette