Dadah jenis ganja bernilai RM168,020 dirampas dengan tangkapan dua suspek tempatan sindiket pengedaran dadah di Bandar Kinrara 10 Julai lalu.

SERDANG – Dua individu yang disyaki aktif dalam jenayah pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang ditahan polis dalam serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi dan pembantu kedai makan ditahan ketika berurus niaga dengan pelanggan di tepi jalan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan tiga kotak yang mengandungi 51 ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat 54.219 kilogram.

“Nilai rampasan dadah adalah dianggarkan bernilai RM168,020,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, dekat sini, hari ini.

Menurut Anbalagan, siasatan mendapati sindiket berkenan aktif dalam pengedaran dadah sejak awal Januari tahun ini.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek pertama berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu peribadi adalah pembekal ganja manakala suspek kedua seorang pembantu kedai makan merupakan runner.

“Suspek pertama berperanan sebagai pembekal yang mendapatkan bekalan dari negara jiran untuk pasaran di Lembah Klang dan juga dipercayai pengedaran ke Pulau Pinang memandangkan suspek kedua berasal dari Telok Ayer Tawar, Butterworth.

“Siasatan kami mendapati pemandu peribadi itu menerima upah RM500 untuk sekali penghantaran barang terlarang itu kepada pelanggannya dan sentiasa bergerak ke lokasi berbeza sebagai taktik elak dihidu pihak berkuasa,” ujarnya.

Anbalagan berkata, semakan mendapati suspek kedua positif dadah jenis Methaphetamine dan Amphetamine selain memiliki tujuh rekod lampau kesalahan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan kini disambung reman sehingga 22 Julai ini dan mereka disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette