KUALA LUMPUR – Pemimpin muda politik hari ini berdepan cabaran besar untuk meyakinkan generasi muda berkenaan kepentingan berpolitik kerana mewarisi gaya politik yang disifatkan banyak ‘menyesatkan’.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, gaya berpolitik itu termasuk pemimpin yang sering berbohong dan tidak menunaikan janji serta pemimpin yang tidak berprinsip.
Sedangkan, kata beliau, apa yang diharapkan generasi muda dalam politik hari ini adalah pemimpin yang telus dan berintegriti, berani membawa suara mereka serta mampu berkhidmat kepada keseluruhan rakyat.
“Kita kena terbuka dan mengakui kita mewarisi sistem politik yang saya rasa banyak menyesatkan. Dia (politik menyesatkan itu) ada saham dari pelbagai pihak. Pas dan Perikatan Nasional (PN) pernah jadi kerajaan, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pun pernah jadi kerajaan.
“Sebab itulah kami generasi muda pemimpin politik masa depan ini, antara visi kami adalah untuk memastikan dapat membersihkan gaya politik menyesatkan ini. Kita kena bagi jaminan, kami pemimpin muda akan membawa gaya politik yang jauh lebih baik dari sebelum ini.
“Sebab pada akhirnya, rakyat nak tengok kalau generasi kami tak buat sesuatu, saya yakin, esok (masa depan) rakyat akan tolak sehabis-habisan orang politik, inilah cabaran kami berdua (pemimpin muda politik),” katanya dalam program Skop MG yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital MalaysiaGazette malam tadi.
Selain Muhammad Akmal, turut menjadi ahli panel pada program temubual di bawah tajuk Politik Sesatkan Minda Anak Muda? itu ialah Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Menurut beliau, meskipun sebahagian besar pengundi muda hari ini tidak menjadi ahli mana-mana parti, namun mereka turut cakna dengan situasi politik semasa disebabkan kecanggihan teknologi dan kemudahan maklumat di hujung jari.
Tambahnya, pengundi muda khususnya yang berusia antara 18 hingga 21 tahun sangat terbuka dalam berpolitik dan akan menyokong mana-mana pemimpin yang dilihat mempunyai ideologi yang bagus serta mampu membawa suara mereka.
Sebab itu, kata beliau, bukan satu jaminan untuk pengundi muda kekal menyokong Pakatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) seperti dilakukan secara besar-besaran pada pilihan raya umum lalu, kerana penilaian mereka terhadap situasi politik semasa boleh berubah.
“Pada saya ini cabaran yang menyeronokkan, sebab generasi muda tidak terikut-ikut dengan gaya politik lama dalam menyatakan sokongan mereka.
“Sebab itu pemimpin politik muda juga kena pilih sama ada mahu meneruskan gaya politik lama itu atau mahu membawa suara sebenar rakyat seperti diharapkan pengundi muda.
“Bagi saya sebagai Ketua Pemuda UMNO, saya mengambil jalan saya tidak takut untuk membawa gaya politik sebenar sebab saya berdiri atas prinsip,” katanya. – MalaysiaGazette