KUALA LUMPUR – Sesi petang persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 2024).
RUU yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu diluluskan secara majoriti, dengan melibatkan perbahasan lebih 40 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Saifuddin Nasution ketika menggulungkan pindaan berkenaan berkata, kelulusan RUU itu mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.
“Dengan lulusnya akta ini, kedudukan atau status pegawai pemulihan itu kita upgrade (naik taraf) iaitu mereka punya kuasa untuk memberikan perakuan setelah lakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima program rawatan dan pemulihan.
“Kalau sebelum ini satu sahaja iaitu pegawai perubatan. Sekarang ini pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi.
“Akta ini juga tidak sama sekali mengenepikan peranan pegawai perubatan. Hakikatnya di AADK seluruh negara sekarang, sudah ada pegawai perubatan dan ada penolong pegawai perubatan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Pindaan RUU berkenaan dibawa ke pembentangan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua pada 9 Julai lalu adalah kali pertama sejak 2004.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, RUU itu juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahgunaan dadah dan bahan.
Tambah Saifuddin, melalui kelulusan RUU itu juga, pelaksanaan akta berkenaan kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman untuk pesalah dadah.
“Maksudnya mereka yang terlibat menagih atau menyalahguna bahan, kalau sebelum ini opsyennya satu (sahaja), iaitu pemenjaraan.
“Tapi kali ini kita salurkan kepada rawatan dan pemulihan di bawah AADK. Bukan sahaja 30 AADK yang kita ada, tetapi juga ada pusat rawatan pemulihan dadah persendirian,” katanya.
Saifuddin hari ini memaklumkan kementeriannya telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020). – MalaysiaGazette