KUALA LUMPUR – Pas dicabar meletakkan calon parti itu sendiri dan tidak memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia bagi mengelak kemungkinan calon Bersatu kelak akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya menang, sama seperti dilakukan bekas ADUN, Mohd. Azizi Abu Naim.
“Pas wajar mendenda Bersatu kerana tindakan Azizi. Pas patut tuntut ganti rugi dengan minta kerusi Nenggiri. Apa(tah) lagi, Azizi masih kekal MP Gua Musang yang menang atas tiket Pas,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd. Puad, kesemua PRK sebelum ini juga dimenangi oleh parti ‘incumbent’ atau mengekalkan status quo, justeru PRK DUN Nenggiri sepatutnya menjadi medan beradu kekuatan ‘siapa rampas kerusi siapa’ antara Pas dengan UMNO.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing diadakan pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong setelah menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) Mohd. Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon UMNO, Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – MalaysiaGazette