AP Ukhwah Sdn. Bhd. meraih Top 500 Customer Certification Trusty Brand Award pada Majlis Tindakan Pengguna Negara.

KUALA LUMPUR – Syarikat agensi pekerjaan, AP Ukhwah Sdn. Bhd. melakar sejarah tersendiri apabila meraih Top 500 Customer Certification Trusty Brand Award pada Majlis Tindakan Pengguna Negara baru-baru ini.

Syarikat yang menyediakan khidmat pekerjaan kepada orang ramai dari pelbagai sektor itu adalah milik bapa kepada pendakwah bebas dan selebriti Ustaz Muhammad Haris atau PU Riz iaitu Datuk Seri Mohd Ismail Norbat.

PU Riz yang juga suami kepada selebriti Neelofa berkata, anugerah itu disifatkan sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan buat syarikat yang sudah 35 tahun beroperasi dalam negara.

“Syarikat AP Ukhuwah Sdn Bhd ini adalah perniagaan keluarga yang diusahakan ayah sejak sekian lama dan sebagai anak sudah tentu saya bangga dengan pencapaian dibuat sehingga diberikan anugerah.

“Berada dan tersenarai sebagai 500 syarikat terbaik dalam Malaysia bagi kategori menyediakan khidmat pekerjaan kepada orang ramai dari semua sektor satu penghormatan buat semua yang terbabit dalam syarikat.

“Semoga anugerah yang diterima menjadi pembakar semangat kepada saya yang turut menjalankan beberapa rangkaian perniagaan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Antara perkhidmatan pekerjaan yang sedang dijalankan adalah agensi pekerjaan, pembekalan pekerja pengawal keselamatan, perniagaan makanan dan restoran, stesen minyak, syarikat pembinaan dan hartanah.

Selain PU Riz, turut hadir bagi meraikan anugerah diterima ialah Ketua Pegawai Eksekutif Amir Ismail dan Pengurus Operasi Eksekutif Wan Amirul. – MalaysiaGazette