Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR-Prestasi ringgit dan pasaran tempatan tidak seburuk seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Malah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ringgit merekodkan prestasi kedua terbaik di Asia dan dijangka mengukuh menjelang akhir tahun ini.

Prestasi Bursa Malaysia juga katanya mencatatkan rekod yang positif.

“Ringgit turun, saham turun, pelabur lari. Faktanya tidak begitu. Hari ini (semalam) ringgit mengukuh kepada 4.6652 berbanding 4.7931 pada 18 April.

“Indeks Komposit iaitu indeks saham syarikat terbesar terus naik sejak setahun lalu kepada 1,633 mata, iaitu peningkatan 21.09 peratus dalam setahun.

“Indeks Emas iaitu indeks saham syarikat modal pertengahan terus naik dan kini mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun. Indeks Emas mencecah 12,678 mata iaitu peningkatan 26.32 peratus dalam setahun,” katanya menerusi video yang dikongsi dalam laman sosial rasmi beliau, hari ini.

Ringgit terus melonjak dan mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan pada sesi pembukaan hari ini berikutan potensi penurunan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) yang terus memacu mata wang tempatan.

Sementara itu, Bursa Malaysia semalam ditutup pada paras tertinggi baharu dalam tiga tahun, seiring dengan kenaikan global berikutan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar, telah merangsang segmen pasaran berisiko.

Indeks petunjuk pasaran FBM KLCI semalam ditutup meningkat 7.58 mata, atau 0.47 peratus, kepada 1,633.54 daripada 1,625.96 ketika ditutup pada Selasa.-MalaysiaGazette