Scoot akan terbang ke Lapangan Terbang Subang mulai 1 September

KUALA LUMPUR- Syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot mengumumkan penerbangan harian dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, bermula 1 September ini.

Syarikat Singapura itu mula menjual tiket dari republik itu ke Subang hari ini di laman web, aplikasi mobil dan saluran-saluran lain.

Menggunakan Airbus A320 bagi laluan Subang ke Singapura, tiket dijual pada harga bermula RM108 sehala.

“Dengan tambahan operasi di Subang, rangkaian laluan Scoot akan ditingkatkan kepada 70 destinasi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Scoot akan mengendalikan 110 penerbangan setiap minggu ke Malaysia menjelang September 2024.

Selain Lapangan Terbang Subang, Scoot turut terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kuching, Langkawi, Miri, Pulau Pinang dan Sibu.

Selain Scoot, TransNusa turut mengesahkan akan terbang ke Lapangan Terbang Subang.-MalaysiaGazette