Pelajar yang mendapat 10A damn ke atas di Parlimen Bagan.

KUALA LUMPUR – Semua pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kawasan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendapat 10A telah menerima tawaran untuk menyambung pengajan ke peringkat matrikulasi.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP berkata, sebanyak 80 calon SPM di kawasannya berjaya mendapat keputusan 10A.

“Kesemua 80 pelajar 10A di kawasan Parlimen Bagan termasuk 7 pelajar 10A yang pada mulanya tidak diberi tawaran telah menerima tawaran ke matrikulasi.

“Di Pulau Pinang, daripada 22 pelajar 10As dari Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan China Pulau Pinang, 21 daripada pelajar telah menerima tawaran mereka untuk tempat matrikulasi.

“Saya sedang berusaha untuk mendapatkan baki pelajar untuk diterima ke matrikulasi,” katanya menerusi perkongsian di X.

Bekas Menteri Kewangan itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berikutan keputusan supaya semua pelajar mendapat 10A menyambung pengajian ke matrikulasi.

Sebelum ini, Anwar memberi jaminan kepada semua calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke matrikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, kuota sedia ada bagi pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tidak terjejas dan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette