Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood secara sukarela menawarkan diri untuk mengambil cuti sementara bagi memberi ruang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun beliau tetap berpegang teguh dengan komitmen kepada HRD Corp.

“Semasa ketiadaan saya, organisasi ini akan tetap menjalankan semua proses seperti biasa dan operasi akan terus berjalan lancer demi memastikan tiada sebarang gangguan kepada perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Sahul juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokongnya selama ini.

Baru-baru ini SPRM telah memulakan penyiasatan berhubung isu HRD Corp dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp.

Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.

Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette