SUNGAI BULOH – Jenazah arwah Nur Farah Kartini Abdullah dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh dengan menaiki van jenazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jam 2.05 petang dan diiringi oleh kenderaan polis.
Urusan tuntutan dan memandikan jenazah selesai lebih kurang 1.30 petang tadi.
Abang kepada Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Amir Abdullah pagi tadi mengesahkan jenazah adik perempuannya akan dikebumikan di Pekan, Pahang.
Sebagai rekod, satu-satunya anak perempuan dari tujuh beradik itu dilaporkan hilang pada 10 Julai dan ditemui mati di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, Isnin lalu.
Kehilangannya dilaporkan selepas menghantar kereta sewa.
Polis berkata wanita tersebut dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenalinya.
Lelaki yang juga penjawat awam itu kini direman selama tujuh hari sejak Selasa lalu.-MalaysiaGazette