Naquib mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PKR Cabang Sri Gading di Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) yakin merampas Johor daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sri Gading, Muhamad Hanis@Hans Dr Azman Atar berkata, keyakinan tersebut berdasarkan rekod, data dan analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“PH yakin mampu untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dengan sekurang-kurangnya menang di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Justeru UMNO Johor diminta muhasabah diri dan jangan mendabik dada dengan kemenangan bergaya pada PRN Johor yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa PKR cabang berkenaan, di sini, malam tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading baru-baru ini dilaporkan berkata, inisiatif untuk merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading perlu dilakukan UMNO.

“Hanya perwakikan yang tahu apa berlaku di Sri Gading. Saya tidak mempunyai jawapan tetapi UMNO Bahagian Sri Gading perlu melihat dan memastikan, terutama ahli bersama-sama kita,” ujar Onn Hafiz.

Susulan itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menyifatkan kenyataan Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor bahawa UMNO perlu merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading daripada PH sebagai kurang cermat.

Beliau mendakwa kenyataan Onn Hafiz itu seolah-olah mempunyai agenda dan bertentangan dengan semangat kerjasama serta keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Hanis berkata, PKR cabang berkenaan menghormati semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Namun beliau mengakui terguris dengan kenyataan semberono Onn Hafiz dan juga beberapa pimpinan UMNO Johor kebelakangan ini termasuk dalam isu lain.

Katanya, PKR cabang itu berpandangan, sebarang usaha parti rakan untuk menggugat kerusi Parlimen dan DUN disandang rakan komponen parti lain dalam Kerajaan Perpaduan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati.

“Desakan daripada pimpinan UMNO Johor untuk mengkaji semula kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dengan alasan keberadaan DAP dalam kerajaan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Apakah pimpinan UMNO Johor ini ‘hilang akal’ dan suka melihat kerajaan yang dibina di atas titah Yang Dipertuan Agong
ini runtuh sebelum habis penggal,” soalnya.

Kerajaan negeri ujarnya, diseru mencontohi semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dengan memulakan lembaran baharu yang boleh merapatkan hubungan politik dalam kalangan parti komponen Oh dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Ianya boleh dimulakan dengan agihan secara adil dalam urusan pelantikan ahli majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua ketua kampung.

“Namun sekiranya UMNO Johor memilih untuk melebarkan jurang ideologi dan pemikiran, PKR Cabang Sri Gading dengan ini bertegas dan bersedia untuk meletakkan calon di N21 DUN Parit Yaani dan N22 DUN Parit Raja di samping mempertahankan kerusi Parlimen Sri Gading yang kini disandang oleh Parti Amanah Negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette