Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memandang serius mengenai bacaan Qunut Nazilah oleh blok pembangkang ketika sesi akhir Dewan Rakyat di sini semalam.

Menurutnya, ia jelas satu dasar politik yang melampau dan harus ditolak biar pun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan dan pembangkang.

“Di mana insiden itu berlaku semalam, di Parlimen jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa? Perbuatan membaca Qunut Nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang MP yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.

“Ini contoh amalan politik melampau perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon dial kehancuran. Ini bukan amalan Islam.

“Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikian mengulas pertanyaan sama ada pihaknya berpandangan bacaan Qunut Nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail ditujukan kepada kerajaan.

Bacaan Qunut Nazilah lazimnya dibaca oleh umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kebiasaanya bacaan Qunut Nazilah dibaca selepas solat atas dasar meminta pertolongan daripada Allah.

“Qunut Nazilah yang kita baca dalam solat itu meminta pertolongan Allah di atas kezaliman Israel membunuh anak-anak.

“Semalam Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail membaca Qunut Nazilah yang sama terhadap lawan politiknya. Yang ini saya kata bukan akhlak politik Islam dan jauh sekali ajaran Islam.

“Saya katakan bahawa dibaca dalam Dewan jelas dia cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen tapi saya nak seru rakyat Malaysia termasuk umat Islam supaya melihat perkara ini dengan hati yang jernih dan tahu kita berbeza dari segi pilihan politik dan tidak boleh dianggap sebagai beza akidah,” katanya lagi.

Semalam, barisan pembangkang bertindak membaca Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana beliau membangkitkan surat layang ketika perbahasan.

Surat layang tersebut berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.

Keputusan pergantungan itu dibuat setelah usul itu tersebut diluluskan dengan undian 110 anggota parlimen dan diumumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast