Oleh: Rasfan Abu Bakar
BULI siber merujuk kepada penggunaan teknologi digital seperti komputer dan telefon
bimbit untuk mengganggu, mengugut, memalukan atau mencederakan orang lain.
Fenomena ini telah menjadi isu serius dalam era digital kerana akses yang mudah
kepada media sosial serta pelakunya pula menggunakan identiti palsu.
Buli siber boleh memberi kesan mendalam dan berpanjangan kepada mangsa. Antara
kesan yang biasa dialami antaranya adalah tekanan emosi, kegelisahan, kemurungan,
kehilangan keyakinan diri dan dalam kes yang lebih teruk ia boleh membawa kepada
bunuh diri. Kesan negatif ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental dan
emosi tetapi juga boleh mengganggu rutin harian, prestasi akademik dan kehidupan
sosial mereka.
Berbanding dengan buli tradisional, buli siber berlaku 24 jam sehari dan sukar untuk
dielakkan kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja kerana adanya peranti yang
berhubung dengan internet. Penggunaan identiti dan akaun palsu yang berleluasa di
internet juga membuatkan pelaku berasa lebih berani untuk melakukan perbuatan
tersebut tanpa rasa takut pada akibatnya.
Menurut Justin W. Patchin, Profesor Keadilan Jenayah dari Universiti Wisconsin-Eau
Claire, “ketiadaan nama dalam sistem teknologi yang digunakan boleh menyebabkan
individu bertindak dalam cara yang mereka tidak mungkin dilakukan dalam keadaan interaksi bersemuka. Buli siber ialah isu kompleks yang memerlukan strategi
komprehensif untuk pencegahan dan campur tangan”.
Mereka yang menjadi mangsa buli juga terdiri daripada pelbagai latarbelakang, umur
dan pendidikan kerana ada diantaranya sudah bergelar selebriti dan dikenali diseluruh
dunia. Hana Kimura, seorang ahli gusti profesional Jepun dan bintang rancangan realiti
Terrace House, membunuh diri pada Mei 2020 di usia 22 tahun. Perkara ini bermula
apabila Hana menerima banyak komen berunsur kebencian dan buli siber di media
sosial setelah salah satu episod Terrace House menunjukkan perselisihannya dengan rakan sebilik.
Serangan dalam talian yang berterusan menyebabkan Hana berhadapan dengan
tekanan emosi yang sangat besar. Akhirnya Hana mengambil keputusan tragis untuk
mengakhiri hidupnya. Kes ini mendorong perbincangan luas mengenai kesan buli siber
dan keperluan untuk regulasi yang lebih ketat terhadap kebencian dalam talian.
Begitu juga dengan Sulli, seorang penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan yang juga
bekas ahli kumpulan K-pop f(x), meninggal dunia pada Oktober 2019 di usia 25 tahun.
Sulli telah lama menjadi sasaran buli siber serta komen negatif di media sosial.
Tekanan dari komen-komen kebencian dan serangan siber ini dipercayai telah
menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang akhirnya membawa kepada
tindakan membunuh diri. Tragedi ini menimbulkan perbincangan mengenai kesan buli
siber dalam industri hiburan Korea dan keperluan untuk melindungi selebriti dari
serangan dalam talian.
Malaysia juga tidak terkecuali dengan insiden yang malang ini. Pada 5 Julai 2024,
seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu (Esha), 29 tahun telah membunuh diri di
sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, akibat buli siber. Esha telah diganggu,
diugut dan dilemparkan dengan pelbagai kata caci maki menyebabkan dirinya
mengalami tekanan emosi yang amat dahsyat. Menurut pihak polis, Esha sempat
membuat satu laporan di Balai Polis Sentul sehari sebelum kematianya.
Berikutan kejadian itu, pelbagai pihak telah mengemukakan beberapa cadangan dan
diantaranya ialah dengan menggubal satu akta baharu berkaitan jenayah buli siber.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, ketika ini polis terpaksa
menggunakan peruntukan undang-undang yang berbeza dalam menangani kes
berkenaan seperti Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (SKMM) 1998. Justeru itu Razarudin berharap agar satu undang-undang
baharu diwujudkan khusus bagi menangani kes buli siber.
Jika dibandingakan dengan negara-negara lain didunia, mereka terlebih dahulu
membuat undang-undang khusus untuk menangani kes buli siber. Sebagai contoh,
Australia mempunyai undang-undang yang ketat untuk menangani buli siber melalui
eSafety Commissioner. Undang-undang ini memberikan kuasa kepada eSafety
Commissioner untuk meminta agar kandungan yang merosakkan atau mengganggu
dikeluarkan dari internet. Pada tahun 2021 pula, Parlimen Australia telah meluluskan
undang-undang baru yang dikenali sebagai Online Safety Act 2021, ia bertujuan untuk
memperluas perlindungan dan langkah-langkah terhadap buli siber.
Di Amerika Syarikat pula, banyak negeri telah menggubal undang-undang buli siber.
Contohnya, negeri California mempunyai California Education Code 48900 yang
membolehkan sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang terlibat dalam
buli siber. New York juga mempunyai undang-undang dikenali sebagai Dignity for All
Students Act (DASA), ia merangkumi buli siber dan memberi mandat kepada sekolah
untuk melaporkan dan menangani kes buli.
United Kingdom turut mempunyai beberapa undang-undang yang boleh digunakan
untuk menangani kes buli siber seperti Communications Act 2003. Undang-undang ini
membuatkan sesuatu perkara menjadi jenayah jika menghantar mesej atau komunikasi
yang mengancam, menghina, atau berniat jahat melalui media elektronik. Pada tahun
2021, kerajaan UK mengumumkan Online Safety Bill yang bertujuan untuk mewajibkan
syarikat teknologi mengambil tindakan lebih tegas terhadap kandungan yang
merosakkan termasuk buli siber.
Justeru itu dapat disimpulkan bahawa buli siber merupakan satu ancaman yang serius
pada era digital. Ia boleh memberi kesan mendalam serta berpanjangan terhadap
kesejahteraan mental, emosional, dan sosial seseorang individu. Perkara ini berlaku
melalui pelbagai platform dalam talian seperti media sosial, aplikasi pesanan segera
serta forum dalam talian. Dengan adanya undang-undang yang tegas, perlakuan buli
siber boleh dikurangkan dan ini bakal mewujudkan satu persekitaran dalam talian yang
selamat serta positif buat semua pengguna tidak kira apa juga latar belakangnya.
Selain itu semua pihak perlu berperanan dalam mencegah dan mengatasi buli siber
dengan memastikan bahawa teknologi internet digunakan untuk kebaikan dan bukan
untuk mencederakan orang lain.
Penulis merupakan mantan dekan Fakulti Animasi & Multimedia ASWARA