Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti MUDA, VKK Rajasekaran Teagarajan

KUALA LUMPUR – Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan enam ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan mengundang kebimbangan umum tentang ketidakstabilan politik mungkin tercetus.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti MUDA, VKK Rajasekaran Teagarajan, keputusan mengekalkan kerusi itu tidak langsung meredakan suhu politik sebaliknya beri risiko jika undang-undang anti lompat parti tidak dipatuhi.

“Perlu ingat apabila ahli Parlimen melompat parti, ia boleh menggugat majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan yang stabil, ini bukan sahaja melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi sebaliknya menghalang pelaksanaan dasar-dasar yang konsisten dan berkesan.

“Contohnya, situasi seperti yang terjadi selepas Gerakan Sheraton pada tahun 2020 mengakibatkan perubahan kerajaan tanpa melalui Pilihan Raya Umum (PRU) menimbulkan ketidakstabilan dan kebingungan dalam pentadbiran negara.

“Jika undang-undang anti lompat parti tidak dihormati, ia akan menyukarkan pelaksanaan agenda pembaharuan yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambung VKK Rajasekaran, apa yang membingungkannya ialah sikap yang ditonjolkan oleh Anwar dalam isu yang sama.

“Dulu Anwar dikenali dengan agenda reformasi, mungkin kini beliau akan kehilangan keupayaan untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan kepada rakyat jika ahli parlimen terus melompat parti demi kepentingan peribadi.

“Ini seterusnya akan menggagalkan usaha untuk memperbaiki sistem pentadbiran dan keadilan sosial di negara ini,” ujarnya.

Katanya lagi, kesan ini juga besar apabila menyentuh ekonomi dan hubungan antarabangsa kerana akhirnya ketidakstabilan politik akan memberikan impak negatif.

“Pelabur asing mungkin berasa ragu-ragu untuk melabur di negara yang tidak mempunyai kestabilan politik yang kukuh. Selain itu, kemampuan Malaysia untuk menjaga hubungan diplomatik dengan negara lain juga akan terjejas seperti yang dilihat dalam ketegangan berterusan di Laut China Selatan.

“Kerajaan yang lemah akan sukar untuk mempertahankan kepentingan negara di pentas antarabangsa, sekaligus mengancam kedaulatan dan keselamatan negara,” ujarnya.

Justeru itu, adalah penting untuk pastikan undang-undang anti lompat parti dipatuhi demi menjaga kestabilan politik, memastikan keberkesanan pelaksanaan agenda reformasi, serta menjaga kepentingan ekonomi dan diplomatik Malaysia. – MalaysiaGazette