Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Sudah habis RM165,757 baru sedar kena tipu.

Itulah nasib seorang bekas kontraktor yang apabila wang simpanannya itu lesap selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud secara dalam talian, bulan lalu.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 60 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS semalam selepas sedar diperdaya.

“Semuanya bermula apabila mangsa yang kini tidak bekerja memaklumkan melihat iklan pelaburan saham berkenaan dalam media sosial dan berurusan dengan seorang wanita dari syarikat pelaburan berkenaan sejak bulan lalu.

“Mangsa kemudian diterangkan pakej pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak lapan peratus daripada modal. Suspek juga mengarahkan mangsa mendaftar akaun pada pautan link yang diberi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa katanya, membuat pendaftaran selepas tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan.

“Suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam beberapa akaun bank tempatan. Mangsa melakukan sebanyak 20 transaksi pemindahan wang pada Jun hingga awal Julai sehingga mencecah nilai RM165,757,” katanya.

Menurut Raub, mangsa menyatakan menerusi aplikasi pelaburan melihat keuntungan sebanyak RM400,000 dalam akaun itu, namun tidak dapat dikeluarkan.

Katanya, dalam masa sama suspek terus meminta mangsa membuat pembayaran.

Mangsa ujarnya, mengesyaki dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis, kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan. – MalaysiaGazette