Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sewajarnya digantung selama setahun daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa penggantungan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama enam bulan tidak tepat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, hukuman penggantungan setahun terhadap Wan Ahmad Fayhsal adalah perlu sebagai satu bentuk pengajaran kepada wakil rakyat yang lain.

“Ia bukan baru. Ramai MP dikenakan tindakan sama sebelumnya. Sepatutnya Wan Fayhsal digantung setahun sebagai pengajaran kepada semua MP. Jangan cemar kemulian Parlimen hanya untuk jadi populis.

“Isu Blackrock yang beliau bangkitkan memang penting. Ia isu kepentingan nasional. Tetapi tidak bermakna dia boleh bertindak bebal.

“Ahli parlimen mesti tahu batas. Apa yang berlaku membuktikan ramai ahli parlimen tidak tahu peraturan. Sebab itu cakap hentam kromo,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Puad berkata, Wan Ahmad Fayhsal wajar bersyukur kerana elaunnya sebagai Ahli Parlimen tidak disekat.
.
“Ada baiknya ahli Parlimen diwajibkan hadir kursus mengenai peraturan tetap mesyuarat. Wan Fayhsal patut bersyukur. Elaun parlimennya tidak disekat.

“Kes Gobind Singh Deo jadi landmark. Mahkamah Persekutuan putuskan Parlimen tidak ada hak sekat elaun Gobind yang digantung setahun pada tahun 2009,” tegasnya.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam.

Ini susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.