Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh bercakap pada sidang media berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Jailani Khamis yang menyertai parti Pas di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis seolah-olah digantung tidak bertali kerana beliau masih melakukan kesalahan ketika proses digantung keahliannya oleh UMNO.

Ketua Menteri Melaka yang Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh berkata, setiap ahli parti sepatutnya memperbaiki kesalahan sepanjang proses penggantungan oleh parti dan mengambil sikap bermuhasabah diri.

Bagaimanapun tegas beliau, sekiranya pemimpin itu masih engkar sebagai wakil rakyat parti, tindakan memberi amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan adalah satu yang wajar.

“Saya seronok cara dia bercakap, ketika parti ambil tindakan, dalam tempoh edah digantung keahlian sepatutnya kita ikutlah etika parti supaya dapat memperbaiki kesilapan dan apa sebabkan dia digantung daripada menjadi keahlian.

“Jadi kalau kita bersikap tidak menampakkan bahawa sealiran dengan parti maka parti juga berhak jalankan tugas sebagai pentadbir kepada wakil rakyat dalam parti ini dengan memberikan amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan sebagai wakil rakyat berlandaskan pada surat aku janji tadi.

“Kalau cakap begitu (digantung tidak bertali) saya tak berapa setuju seolah olah kita ini bernikah tidak berkadi bercerai tidak bertalak,” katanya dalam satu sidang media khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Selasa lalu, pada sidang media di Parlimen mengumumkan menyertai Pas, Muhammad Jailani mendakwa memberitahu peruntukan di kawasannya telah disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Bekas pemimpn UMNO itu berkata, beliau seolah-olah digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya daripada parti tersebut.

“Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya… gantung tidak bertali.

“Sekat peruntukan dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?” soalnya lagi pada sidang media itu.

Mengulas lanjut, Abd Rauf menjelaskan, apa jua tindakan yang diambil parti adalah berdasarkan ‘Aku Janji’ yang ditandatangani sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16.

“Apabila kita tidak gambarkan seorang wakil rakyat kerajaan dan sifat wakil rakyat pembangkang, kita (parti) ambil tindakan atas sebab sedemikain

“Seolah-olah gantung tak bertali saya tak boleh terima kerana berlakunya beliau sebagai wakil rakyat ada aku janji kena tandantangan.

“Janganlah kita ini bernikah tidak berkadi bercerai tidak bertalak dan ia menjadi satu perkara untuk dipolemikkan, ia tidak betul,” katanya.

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai aktiviti parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

DUN Rembia adalah satu daripada lima kerusi dalam Parlimen Alor Gajah, Melaka.

Ketika ini Muhamad Jailani yang kini menjadi Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka digantung keahliannya oleh UMNO selama enam tahun.

Tindakan itu diambil susulan kontroversi kehadirannya berkempen di atas pentas PN semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Johor, diadakan pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod Muhamad Jailani merupakan ahli UMNO sebelum menyertai PKR dan menjadi ADUN Rembia pada 2018. Bagaimanapun dia bersama tiga ADUN PH lain menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Tindakan tersebut menyaksikan kerajaan PH Melaka akhirnya tumbang pada Mac 2020 dan digantikan dengan BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast