Nie Ching dan Jafni (tengah) semasa melawat Tapak Menara Komunikasi Kampung Murni Jaya 2, di Kulai, hari ini

KULAI – Kementerian Komunikasi mahu orang ramai tidak menjadikan isu video promosi George Town Festival 2024 (GTF 2024) sebagai satu isu perkauman.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, perbuatan berkenaan perlu dihentikan ketika ini yang hanya akan menyebabkan berlaku salah faham dan dibimbangi berlaku ketegangan kaum.

“Masyarakat umum termasuk pengguna media sosial berhak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka namun tidak boleh keterlaluan.

“Seperti apa yang kami selalu tegaskan, rakyat jelata mempunyai hak untuk mengkritik sesuatu isu tetapi jangan sampai tahap yang melampau.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka mempunyai hak untuk memberi komen, tetapi janganlah sampai mengambil peluang ini untuk menjadikannya satu isu perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Menara Telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun Murni Jaya di sini hari ini.

Selasa lalu, GTF 2024 memohon maaf dan menurunkan video promosi mereka selepas didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu.

Menerusi kenyataan, jurucakap memaklumkan semua klip video ‘teaser’ berkaitan dalam semua saluran media sosial mahupun laman web telah dipadam bagi mengurangkan ‘salah faham’.

“Pasukan GTV 2024 berasa kesal sekiranya video ‘teaser’ promosi dengan tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) mengecam video promosi itu yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

Presidennya, Mohd Yussof Latiff berkata, tindakan tersebut seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan video promosi bertemakan ‘Here and Now’ tersebut sebagai satu naratif tidak ‘inklusif’ dan tidak mempamerkan kepelbagaian sebenar warisan George Town.

Katanya, tidak wajar pihak-pihak yang terlibat langsung dengan penganjuran GTF 2024, iaitu Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang terlepas pandang perkara sedemikian, katanya.

Sementara itu, Nie Ching berkata, sehingga kini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menerima apa apa aduan mengenai komen jelik melibatkan elemen raja, bangsa, agama (3R) berhubung perkara itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berharap dan menasihatkan semua pihak khususnya pihak penganjur agar lebih peka tentang konten sesebuah program melibatkan kaum bagi mengelak berlakunya isu sensitif melibatkan kaum di negara ini.

“Mungkin kesilapan berlaku di pihak penganjur, tetapi jangan sampai tahap menjadi isu perkauman yang tidak betul, jadilah seorang netizen yang bertanggungjawab dan jangan salah guna kemudahan yang telah disediakan.

“Saya harap penganjur dapat belajar daripada kesilapan ini, kita sebagai rakyat Malaysia patut bangga dengan kepelbagaian bangsa dan sangat penting untuk meraikan kepelbagaian antara kaum,” katanya. – MalaysiaGazette