Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli meminta pihak yang tidak mahu menerima fakta bahawa ekonomi negara semakin mengukuh supaya tidak marah.

Menurutnya, walaupun data-data ekonomi menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara masih ramai yang tidak mahu menerima fakta tersebut.

“Insya-Allah ekonomi negara akan terus mengukuh, tetapkan hati kita untuk sama-sama menyumbang membina semula ekonomi negara.

“Jangan marah bila data menunjukkan ekonomi semakin mengukuh. Pesan kawan saya dari utara ‘panas tak pe jangan koyak’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan yang dicatatkan itu adalah yang tertinggi semenjak suku keempat 2022 (7.4%).

Bagi separuh pertama tahun 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Prestasi baik ini dijangka akan terus mendorong pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham, selain terus menarik pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

“Kita akan sering terdedah kepada risiko pembodohan di media sosial yang mengatakan ekonomi negara merudum, tetapi fakta-fakta ini membezakan antara mereka yang menghormati ilmu dan mereka yang memalingkan muka dari ilmu,” kata Rafizi.

Dalam data yang dikeluarkan DOSM, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.

Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek. – MalaysiaGazette