Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) ketika mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan UMNO Sabah di Bangunan UMNO.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang dijangka menyampaikan amanat pada Himpunan Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah (HBNNS), Ahad ini disifatkan sebagai sejarah baharu buat BN negeri itu.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kehadiran Perdana Menteri itu membuktikan hubungan yang erat di antara kedua-dua parti khususnya sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ujar beliau, gandingan BN-PH diyakini akan memberikan dampak positif serta bakal merubah landskap politik negeri Sabah, sejajar dengan persefahaman yang amat baik dan kukuh di antara Anwar dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Malah, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menegaskan formula BN-PH merupakan yang terbaik untuk menghadapi PRN Sabah kelak dengan mengenepikan sentimen anti-Malaya dan anti-Persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Suhaimi, penduduk Sabah juga menyedari Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar mengambil peduli berkenaan negeri itu dan dizahirkan melalui Belanjawan 2024 yang mana Sabah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga menurunkan kuasa pelaksanaan projek Pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, ia jelas membuktikan Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di Sabah dengan pelbagai inisiatif antaranya Pelan Tranformasi SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) dan Pelaksanaan Penjanaan Tenaga Solar Hidbrid.

“Sejajar dengan semangat perpaduan di atas komitmen Anwar, Zahid Hamidi dan Bung Moktar, kita hadir beramai-ramai ke Sandakan untuk  menzahirkan solidariti Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast