KUALA LUMPUR – Kes kanser yang dikesan pada tahap 3 dan 4 telah meningkat kepada 65.1 peratus pada 2017-2021 daripada 63.7 peratus pada 2012-2016.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kanser kini penyebab ketiga kematian di Malaysia iaitu kira-kira 15,200 kes pada tahun 2022 berbanding kedudukan keempat pada 2021.
Data berkenaan terkandung dalam penerbitan Ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2017 – 2021.
Dari 2017 hingga 2021 terdapat 10 jenis kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kanser payudara menyumbang jumlah yang paling tinggi diikuti kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx, kanser rahim dan kanser ovari.
“Analisis mengikut jantina mendedahkan bahawa kanser kolorektal mencatatkan insiden kanser tertinggi dalam kalangan lelaki, diikuti oleh kanser paru-paru dan kanser prostat.
“Dalam kalangan wanita, kanser payudara mempunyai insiden tertinggi, diikuti oleh kanser kolorektal dan kanser paru-paru,” katanya dalam kenyataan.
Ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017 – 2021 itu bagaimanapun memperlihatkan perubahan positif dalam kes kanser pangkal rahim di Malaysia.
Kes kanser pangkal rahim menurun secara konsisten daripada 7.6 setiap 100,000 wanita pada 2007-2011 kepada 6.2 setiap 100,000 wanita pada 2012-2016 dan seterusnya turun kepada 6.0 setiap 100,000 wanita pada 2017-2021.
Usaha memerangi kanser pangkal rahim di Malaysia bermula dengan pengenalan saringan pap smear pada tahun 1969 yang kemudiannya diberi secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara bermula pada tahun 1998.
KKM juga telah menerima pakai kaedah pensampelan sendiri menggunakan kit ujian pengesanan HPV (Human Papillomavirus) sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah penghapusan kanser pangkal rahim.
Kerjasama pelbagai pihak berkepentingan selain KKM, termasuk wakil komuniti, universiti, fasiliti kesihatan swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan jua menyumbang kepada penurunan kes.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, liputan pemeriksaan pap smear dalam kalangan wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun diperluaskan daripada 23.1% pada 2019 kepada 43.2% pada 2023.
“Usaha ini mencerminkan kemajuan ketara dalam meningkatkan kesedaran dan akses kepada perkhidmatan pemeriksaan kanser serviks yang berkesan menyumbang kepada penurunan dalam insiden.
“KKM juga meramalkan penurunan berterusan kes kanser serviks apabila generasi yang divaksinasi terhadap HPV, matang pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Melangkah ke hadapan, KKM menyasarkan untuk menambah baik ketepatan masa laporan MNCR.
Usaha akan ditumpukan kepada penerbitan yang lebih kerap, mungkin beralih kepada laporan dwitahunan dan akhirnya secara tahunan.
Inisiatif tersebut bertujuan untuk menyediakan data yang terkini dan boleh diambil tindakan bagi menjelaskan strategi bersasar dan meningkatkan hasil dalam pencegahan dan penjagaan kanser. – MalaysiaGazette