KUANTAN– Kementerian Perdagangan Dalam NegeriDan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menahan tiga lelaki warga yang disyaki terbabit dalam sindiket penjualan barangan tiruan dalam beberapa serbuan yang dilakukan di negeri itu.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, suspek berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun mengaku sebagai pemilik premis dan pekerja premis ditahan untuk membantu siasatan.
”Serbuan yang dibuat melibatkan ke atas tujuh premis, membabitkan lima premis yang menjual aksesori telefon dan dua premis yang menjual barangan penjagaan diri.
”Lokasi sasaran serbuan membabitkan di daerah Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh yang menjual barangan tiruan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM45,000.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah aksesori telefon bimbit dan barangan penjagaan diri jenama terkenal dipamerkan di premis bagi tujuan perdagangan atau jualan kepada pengguna.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
Jika disabitkan kesalahan ialah jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
Operasi serbuan dilaksanakan selama dua hari pada 16 dan 17 lalu melibatkan seramai 25 orang anggota penguat kuasa KPDN Negeri Pahang dan KPDN Cawangan Temerloh berserta wakil cap dagang hasil aduan yang diterima daripada pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan. – MalaysiaGazette