Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 19 JULAI 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarah melakukan segera segmentasi para pelancong dari luar negara bagi memastikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) mencapai sasaran RM35 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia perlu meneroka potensi baharu termasuk pelancong berpendapatan tinggi yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Pada 2026, kita akan menerima pelancong-pelancong mengikut kumpulan sasaran yang telah ditetapkan. Kita harus menyasarkan kepada mereka yang berpendapatan tinggi untuk menjadi pelancong berkualiti datang ke Malaysia.

“Kita menghargai pelancong-pelancong dari China, India dan Indonesia tetapi kita perlu ambilkira pertukaran wang asing diperoleh ini akan dapat membangunkan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan sesi libat urus MOTAC dan Tourism Malaysia bersama penggiat-penggiat industri pelancongan di ibu pejabat MOTAC lebih dua jam secara bersemuka.

Ahmad Zahid juga mengharapkan para penggiat industri pelancongan menyokong semua program MOTAC bagi menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

“Saya mengharapkan pihak swasta dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dengan memberikan sokongan kepada apa yang mereka telah rancangkan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat membantu memberikan peruntukan tambahan untuk merancakkan promosi TMM2026.

“Saya amat yakin, jika pihak kerajaan dapat membantu memberikan perbelanjaan yang lebih untuk promosi.

“Ia akan dapat memberikan keuntungan sebagaimana kita pernah melakukan beberapa tahun yang lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast