Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan KPN Bulan Julai di Bukit Aman hari ini. Gambar Ihsan Urusetia KPN Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ditambah bagi menangani kes jenayah siber yang semakin kompleks.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau mahu Jabatan Pengurusan Bukit Aman meneliti dan menyegerakan cadangan tersebut dan mensasarkan cadangan berkenaan dilaksanakan akhir tahun ini.

“Melihat kepada trend jenayah siber semasa yang semakin canggih dan kompleks, saya melihat keperluan ini adalah amat mendesak bagi kita untuk memperkasakan JSJK dalam memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2024 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata, adalah menjadi keutamaan beliau untuk memastikan PDRM mempunyai modal insan yang profesional, mempunyai kebolehan dan keupayaan diri dalam menyampaikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

Katanya, Jabatan Pengurusan menerusi Bahagian Latihan dalam proses untuk melahirkan sumber manusia yang kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Ke arah itu, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan untuk penambahbaikan, ujarnya.

Razarudin memberitahu, bagi melahirkan generasi pegawai polis yang berketerampilan dan unggul dan kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar dilaksanakan dengan menitikberatkan kelayakan akademik mereka di institusi Latihan PDRM.

“Bagi tujuan itu sebagai perintis, sebagai perintis, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di empat institusi latihan PDRM iaitu Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, PULAPOL Kuala Lumpur dan PULAPOL Bukit Sentosa.

“Semua calon tenaga pengajar yang berkhidmat di institusi ini mestilah mempunyai kelulusan akademik ekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dan ke atas,” ujarnya. – MalaysiaGazette