Pejabat Parlimen Kulai di bandar Kulai, Johor dipecah masuk pada 9 Julai lalu dan beberapa barangan dilaporkan hilang.

KULAI – Pejabat Parlimen Kulai dan empat sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sekitar daerah ini dipecah masuk baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, kejadian tersebut berlaku dalam jarak masa yang dekat sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

“Pejabat Ahli Parlimen Kulai di bandar ini dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan beberapa barangan dilaporkan hilang.

“Jumlah kerugian libatkan ribu ringgit, antara yang hilang ialah tablet dan telefon bimbit. Kami juga perlu menggantikan CCTV (kamera litar tertutup).

“Telefon bimbit diguna pakai dalam pejabat hilang, begitu juga dengan tablet untuk mencatat aduan daripada pengadu-pengadu dan apa-apa maklumat yang kami terima.

“Saya serahkan kepada pihak polis dan saya percaya bahawa IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kulai akan buat yang terbaik dan mengambil tindakan cepat untuk mengenal pasti siapa di belakang kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Menara Telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Nie Ching berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan semua maklumat yang diperlukan sudah diberikan semasa siasatan.

Beliau berharap kejadian tersebut dapat tidak berulang dan laporan polis sudah dibuat termasuk pihak pengurusan sekolah terbabit supaya siasatan dan tangkapan dapat segera dilakukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, kejadian pecah Pejabat Parlimen Kulai itu berlaku pada 9 Julai lalu dan kes disiasat bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette