Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pintu jengkaut di tapak kuari di Jalan Senggarang, Batu Pahat semalam

BATU PAHAT – Seorang pekerja lombong maut selepas tersepit pada bahagian pintu jengkaut semasa bekerja di tapak kuari di Jalan Senggarang di sini semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penguasa Bomba Kanan I Ridwan Gembor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.25 petang.

Seorang lelaki tempatan meninggal dunia selepas yang tersepit di bahagian pintu jengkaut di tapak kuari di Jalan Senggarang, Batu Pahat semalam.

Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba mendapati mangsa tersepit di bahagian pintu dan dipercayai patah bahagian tengkuk. Bomba menggunakan peralatan khas memotong pintu jengkaut tersebut dan mengeluarkan mangsa.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir. Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak polis dan operasi selesai pada pukul 5.28 petang. – MalaysiaGazette