Syahrul Asyraf Dahlan ditemui dalam keadaa selamat di tepi jalan Pandamaran Klang hari ini.

AMPANG – Seorang pemandu lelaki e-hailing yang dilaporkan hilang sejak 12 Julai lalu berjaya ditemui semula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, orang hilang yang dikenal pasti identiti sebenar sebagai Syahrul Asyraf Dahlan, 33, berjaya dikesan semula oleh polis di tepi jalan kawasan Pandamaran, Klang.

“Penama berjaya dikesan oleh sepasukan polis dari IPD Ampang sekitar 5.40 petang dan pemeriksaan mendapati dia berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada anggota badan individu tersebut.

“Hasil temubual awal pihak polis mendapati penama mengilangkan diri dengan meninggalkan rumah tanpa maklumkan kepada keluarga tentang keberadaannya kerana dalam keadaan tekanan disebabkan masalah kewangan yang kritikal,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Azam, polis juga telah memaklumkan kepada ahli keluarganya yang lelaki itu dijumpai semula dalam keadaan baik dan sihat.

Terdahulu, Mohd Azam mengesahkan polis pada 14 Julai lalu pihaknya telah menerima laporan polis tentang kehilangan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu e-hailing, Syahrul Asyraf Dahlan.

Beliau memaklumkan kali terakhir beliau dapat dihubungi oleh ahli keluarga yang tinggal di Melaka melalui panggilan telefon semasa sedang bekerja pada 12 Julai lalu.- MalaysiaGazette