Mohd Fadzil Hashim.-foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pengasas pusat beli belah mesra muslim, Malakat Mall yang akan ditutup hujung bulan ini, Mohd Fadzil Hashim akan memperkukuhkan cabang perniagaannya dalam institusi pendidikan, Brainy Bunch.

Mohd Fadzil Hashim yang juga pengasas Brainy Bunch berkata, beliau akan memberi fokus 100 peratus dalam memperkuatkan industri pendidikan tersebut dengan melakukan beberapa pembaharuan.

Beliau juga berjanji isu berkaitan tunggakan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada petugas akan diselesaikan..

“Kepada semua team Brainy Bunch dan ibu ayah Brainy Bunch. Susulan keputusan saya untuk menutup Malakat Mall setelah usaha untuk cuba memulihkannya selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tidak berjaya, saya akan fokus kepada usaha menguatkan Brainy Bunch.

“Penyelesaian tunggakan KWSP telah pun dibincangkan dengan pihak KWSP dengan bayaran ansuran dan komitmen untuk memastikan caruman semasa dibayar,” katanya.

Mohd Fadzil yang juga dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, kerja menaiktaraf kampus-kampus lama Brainy Bunch dan menaik taraf kualiti guru akan menjadi fokus utama.

“Insha-Allah kewangan Brainy Bunch akan pulih sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

“Saya mohon doa dan sokongan semua untuk Brainy Bunch kembali ke landasan yang terbaik menerajui transformasi pendidikan Islam demi masa depan anak-anak kita.

“Semoga Allah memberkati kita semua dengan panduan dan bantuan demi perjuangan mengejar redhaNya,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Malakat Mall, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2020.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Malakat Mall menutup satu-satunya premis fizikalnya di Cyberjaya selepas beroperasi selama empat tahun.

Pengumuman itu dibuat oleh Mohd Fadzil yang berkata, hari terakhir pusat beli belah tersebut dibuka kepada umum ialah pada 31 Julai ini.

Tambah beliau, sejak dibuka pada 13 Mac 2020, Malakat Mall telah diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik Covid-19 selepas hari ke-5 beroperasi.

Mohd Fadzil turut mengumumkan Penjualan Penutupan Malakat Mall dengan diskaun aset sehingga 70 peratus mulai 20 Julai sehingga 31 Julai ini.

Menurut beliau, Malakat Mall akan meneroka model perniagaan baharu dengan perniagaan makanan dan minuman akan berpindah ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubah menjadi restoran.

Unit peruncitan akan berpindah 100 peratus kepada perniagaan secara dalam talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan.

Manakala kedai Malakat Grocer akan dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kesediaan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) untuk membeli saham ahli-ahli yang ingin menjual semula syer mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast