Tangkap layar menunjukkan wanita berkenaan menari serta mengganggu pengguna jalan raya yang melalui Jalan Penang.

GEORGE TOWN –  Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden seorang wanita bertindak mengganggu pengguna jalan raya di Jalan Penang di sini seperti yang tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya terkesan video tular tersebut menerusi laman sosial Facebook yang dimuat naik pemilik akaun Viralq.

“Semakan mendapati kejadian berlaku di Jalan Penang di sini namun tiada laporan berkaitan insiden itu diterima setakat ini.

“Sehubungan itu, kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat tersebut.

“Kita juga ingin menasihati orang ramai agar berkelakuan sopan di tempat awam serta tidak mengganggu ketenteraman orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular rakaman video seorang wanita yang memakai baju berwarna hitam putih dan berkaca mata hitam kelihatan mengganggu beberapa pengguna jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang dekat sini.

Wanita tersebut dilihat menari sambil memegang kipas tangan selain bertindak meletakkan kaki di atas cermin sisi sebuah kereta yang melalui jalan tersebut. – MalaysiaGazette