Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM tiba ke lokasi pada 11.10 pagi bagi meneruskan usaha pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. di Kampung Batu 4, Trolak, Perak. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Proses pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang memasuki hari ke empat hari ini terpaksa ditangguhkan di Sungai Trolak dekat Kampung Batu 4, di sini susulan faktor air sungai yang deras dan keruh.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superitendan Ahmad Faizal Tahrim yang mengesahkan perkara itu turut memaklumkan, paras air sungai di lokasi terbabit tinggi melebihi satu meter kerana hujan sejak awal pagi tadi.

“Keadaan itu tidak selamat untuk pasukan penyelam meneruskan operasi pencarian pada hari ini, ia memberi risiko pada keselamatan mereka.

“Ia disebabkan keadaan dan struktur sungai yang mempunyai sisa kayu serta paras air sungai juga agak tinggi berbanding hari pertama pencarian dilakukan.,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM membuat tinjauan bagi meneruskan usaha pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. di Kampung Batu 4, Trolak, Perak. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JULAI 2024.

 

Ditanya sama ada akan diteruskan lagi pencarian bahan bukti mangsa, Ahmad Faizal berkata, ia bergantung kepada keadaan cuaca, air sungai dan penelitian pasukan dari Unit Siasatan Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kira-kira 10 anggota dan pegawai Unit Siasatan Sub Akuatik PDRM tiba di lokasi pencarian sekitar jam 11.10 pagi.

Selepas hampir satu jam penelitian dan pemeriksaan dibuat pasukan terbabit mendapati, air sungai itu keruh dan deras, selain berada pada paras ketinggian 2.9 meter jarak antara jambatan kecil hingga ke permukaan air.

Menurut sumber, paras air sungai pada hari pertama pencarian berada pada ketinggian ekitar 3.9 meter dari jambatan hingga ke permukaan air, juga air sungai juga amat jernih.

Pada 17 Julai lalu, polis berjaya menemukan telefon bimbit dan beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Kampung Sri Kledang Hulu Selangor dan Kampung Batu 4, Trolak, Perak.

Beg tangan mangsa berwarna coklat ditemukan kira-kira  270 meter dari jambatan kecil dipercayai lokasi suspek membuang bahan bukti atau barangan peribadi mangsa.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya ditemui sekitar jam 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki yang juga merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302  Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan  mengesahkan seramai 26 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini termasuk, rakan Allahyarham dan rakan sekerja suspek.    MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast