Tiga lelaki yang melanggar kereta polis dan cuba mencederakan seorang anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini untuk direman selama tujuh hari.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis di Jalan 17, Taman Kota Masai, Pasir Gudang dekat sini semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chan Lee Lee.

Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, ketiga-tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun telah memandu secara melulu hingga melanggar kenderaan polis dan hampir mencederakan pegawai polis bertugas.

Situasi itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dua daripadanya berjaya ditahan.

Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga lelaki terbabit mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek berusia 25 tahun yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Afzan Musa melalui talian 07-3871422. – MalaysiaGazette