Anggota bomba memadamkan kebakaran bot penumpang yang tiba-tiba meletup pada bahagian tangki.

MERSING – Tiga lelaki melecur apabila bot penumpang yang sedang diparkir tiba-tiba meletup di MSG Boat Building, Taman Sri Daik di sini awal pagi ini.

Kejadian di tempat perkhidmatan membaiki dan pembuatan bot baharu untuk nelayan sekitar Mersing dan Pulau Tioman itu berlaku pada pukul 1.20 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau Penguasa Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, bot jenis penumpang itu meletup di bahagian tangki menyebabkan kebakaran pada bahagian tengah.

“Seramai 14 anggota bomba dibantu dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila sampai pihak bomba mendapati bot berkenaan telah terbakar 80 peratus dan tiga lelaki melecur iaitu Jumarianto Darto, 51, Muhammad Iman Abd Ghaffar, 37, dan Muhammad Hazmi Farhan Jumarianto, 20,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian diselamatkan dan dihantar orang awam ke Hospital Mersing.

Tambahnya, kebakaran bot berkenaan yang panjangnya 3X9 meter dapat dipadamkan kira-kira 20 minit kemudian.

Menurut Azlan, operasi selesai pada pukul 2.15 pagi. – MalaysiaGazette