Tiga suspek yang dipercayai membunuh dan membakar rakan kerana berhutang wang dibawa ke Mahkamah Kajang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 19 JULAI 2024.

KAJANG – Tiga sekawan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kajang membunuh seorang rakan mereka yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar berhampiran sebuah empangan di Semenyih, Selangor pada Jun lalu.

Pekerja bengkel, Zulkarnain Md Ariffin, 44; pekerja syarikat elektrik, Muhammad Iqbal Zainal, 30 dan Syed Fikri Barakbah Syed Mohd Bakri, 28, mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan yang dihadapinya selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Nurul Afzan Ab Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka bertiga di mahkamah kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa mahkamah Tinggi.

Terdahulu, ketiga tiga tertuduh tiba dimahkamah dengan tangan bergari.

Mengikut fakta pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama telah membunuh Mohamed Afiq Hamdan, 29, pada 22 Jun 2024 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan rumah beralamat Lot 787, Jalan Hulu Langat, Batu 16 Dusun Tua di Hulu Langat, Semenyih.

Mereka dituduh secara bersama-sama melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Kes pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Semalam Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mayat tersebut ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih pada 23 Jun lalu.

Tambah beliau, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan isu hutang antara mangsa dan suspek. – MalaysiaGazette