Logo Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

KUALA LUMPUR – Sebanyak 38 aduan daripada orang awam mengenai kes penipuan ‘scammer’ yang menggunakan nama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sejak awal tahun hingga kini.

Aduan yang diterima JBPM melibatkan negeri Sabah (13 kes), Johor (tujuh kes), Terengganu (lima kes), Labuan, Pahang dan Selangor masing-masing tiga kes manakala Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis adalah satu kes.

“Antaranya ialah kes penawaran pemberian tender pembekalan seperti makanan bermasak, bahan mentah, tayar dan minyak enjin kenderaan serta jentera, juga pengeluaran surat pesanan makanan palsu, dengan menggunakan nama Ketua Balai Bomba atau Pengarah Bomba Negeri,” kata JBPM dalam kenyataan.

JBPM memandang serius kes penipuan tersebut dan semua mangsa yang terlibat telah pun dinasihatkan untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang telah dihubungi oleh individu tertentu dengan membuat pelbagai tawaran menggunakan nama JBPM boleh merujuk kepada mana-mana Ibu Pejabat Bomba Negeri atau balai-balai bomba terlibat untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan,” menurut kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette