Dua kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Kuala Selangor, semalam ditemui selamat.

KUALA SELANGOR – Dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang di Jeram, dekat sini semalam, ditemukan selamat kira-kira sejam selepas laporan polis dibuat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Polis, Mohd Ambia Nordin berkata, polis menerima maklumat kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 6.30 petang.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku semasa dua kanak-kanak yang tinggal berjiran itu sedang bermain di taman perumahan berkenaan.

“Polis telah bertindak menjalankan siasatan segera sejurus menerima laporan berkenaan.

“Lokasi kanak-kanak itu dijumpai berhampiran kawasan rumah mereka dan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Sehubungan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 369 kanun keseksaan dan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kes masih dalam siasatan untuk mengesan suspek dan mengenalpasti motif kejadian.- MalaysiaGazette