Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan memberi tabik hormat sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN,, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim menyaksikan kemeriahan upacara yang gilang gemilang diadakan setiap lima tahun sekali di Istana Negara.

Ini kerana pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir-gilir melibatkan Raja-Raja Melayu di sembilan negeri seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

Peristiwa bersejarah hari ini menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.

Tinjauan MalaysiaGazette seawal jam 7 pagi tadi mendapati, semua laluan ke pintu utama Istana Negara dikawal ketat anggota polis bagi memastikan pergerakan tetamu kehormat lancar tanpa gangguan ke Istiadat Diraja itu.

Antara tetamu kehormat terawal yang tiba di pintu utama Istana Negara menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kemudian disusuli keberangkatan tiba Tengku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohamad Ab Rahmah tiba sejurus selepas itu dengan menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam.

Turut berkenan mencemar duli ke Istiadat Diraja itu ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Manakala Raja-Raja Melayu yang berkenan mencemar duli ke Istiadat Pertabalan itu ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut berkenan mencemarkan duli Raja Bahrain, Sheikh Hamat Isa Al Khalifa dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Manakala tetamu kehormat dari luar negara pula ialah bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Terdahulu senarai tetamu kehormat dihadiri Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah Yusof dan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masing-masing tiba jam 8.40 dan 8.42 pagi.

Kemudian disusuli dengan ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kira-kira jam 8.45 pagi.

Untuk rekod, Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula Jumaat dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang, diikuti Khutbah Jumaat Khas, hari ini.

Acara lain yang akan diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, esok, manakala Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai ini.

Selain itu, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai ini dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 September depan.

Pameran itu memberi peluang untuk orang ramai melihat kira-kira 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor. – MalaysiaGazette