KUALA LUMPUR – Pentadbiran Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim cukup berliku apabila terpaksa berdepan dengan gelora ekonomi dunia ketika Seri Paduka ditabalkan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun kerajaan akan mengharungi liku dan gelora itu menerusi kerangka ekonomi Madani dan perancangan teliti.
“Di bawah naungan Tuanku, kerajaan dan rakyat akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu
yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Dalam kerangka Ekonomi Madani telah mencetus kadar pertumbuhan yang memberangsangkan dengan tercatatnya 5.8 peratus bagi suku kedua tahun ini.
“Momentum segar ini diperkukuh dengan angka nilai perdagangan bernilai RM1.396 trilion.
“Sementara nilai pelaburan baharu yang diluluskan sebanyak RM83.7 bilion untuk suku pertama tahun ini, 13 peratus lebih tinggi ketimbang RM74.1 bilion pada tahun lalu,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri berucap semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.
Selain itu, kata Perdana Menteri, kerajaan juga akan meneruskan pendekatan yang menekankan reformasi pendidikan dan kesihatan.
“Ia dilakukan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, aspek penguasaan Bahasa Inggeris serta penerokaan bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan transisi tenaga,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan terjelma pada akhir bulan ini hasil kerjasama semua pihak.
“Kerajaan akan terus memberikan penekanan kepada isu perumahan rakyat dan permasalahan kos sara hidup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
-TAMAT-