Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan memberi tabik hormat sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN,, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menggiatkan usaha meringankan beban rakyat.

Baginda bertitah, kerajaan perlu membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.

“Saya berharap kerajaan akan terus berusaha untuk meringankan beban beban hidup rakyat.

“Kerajaan perlu membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur,” titah Baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, di Balairung Seri, Istana Negara, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula Jumaat dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang, diikuti Khutbah Jumaat Khas, hari ini.

Acara lain yang akan diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, esok, manakala Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai ini.

Selain itu, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai ini dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 September depan.

Pameran itu memberi peluang untuk orang ramai melihat kira-kira 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast