Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap kepada media pada hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,250 pegawai dan anggota polis  terbabit dalam penugasan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu akan berlangsung sepanjang istiadat berkenaan yang bermula 18 hingga 27 Julai ini.

Bagi memastikan kelancaran istiadat ini, semua pegawai dan anggota polis yang terlibat turut membuat latihan dan raptai sejak 10 Julai lalu sebagai persiapan awal dan mengetahui tugas masing-masing dalam memastikan kelancaran trafik di pusat bandaraya terkawal.

“Ini bagi memastikan supaya semua pegawai dan anggota polis bertugas bukan sahaja dari JSPT tetapi juga dari kontinjen lain yang membantu faham tugas masing-masing sepanjang tempoh istiadat pertabalan sehingga ke Jamuan Diraja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

Yusri turut menambah, pihaknya menjalankan tiga tugas utama sepanjang istiadat itu iaitu mengiringi orang kenamaan (VIP), mengawal lalu lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Pada acara hari ini, seramai 378 pegawai dan anggota ditugaskan bagi ketiga-tiga tugas utama berkenaan.

“Seperti yang kita sedia maklum juga, terdapat 14 jalan di sekitar ibu kota yang ditutup secara berperingkat sebagai memberi laluan kepada perjalanan istiadat istimewa ini.

“Jalan berkenaan ditutup seawal 8 pagi tadi dan akan dibuka semula sebaik VIP tiba dan keluar dari Istana Negara bagi acara pagi ini,” ujarnya lagi.

Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama dalam memastikan kelancaran istiadat pertabalan itu berjalan lancar dan sempurna.

“Istiadat pertabalan ini adalah peristiwa bersejarah dan sangat istimewa dalam negara kita yang hanya berlangsung lima tahun sekali.

“Oleh itu, orang ramai diminta memberi kerjasama penuh terutama kepada pihak JSPT yang bertugas melancarkan lalu lintas raya dengan mematuhi arahan diberikan,” katanya.

Sebelum ini, polis memaklumkan sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Jalan berkenaan ditutup sementara bermula 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja. -MalaysiaGazette