Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia diminta lebih professional dalam mengendali isu penerbangan tunda yang berlaku dalam operasinya supaya para penumpang tidak sengsara.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menjadi mangsa penerbangan terkandas berkata, langkah itu perlu diambil oleh AirAsia supaya para penumpang tidak diberikan harapan palsu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu yang terkandas di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) berkongsi pengalaman sedihnya bersama penerbangan AirAsia mendakwa, seawal 8.40 pagi pada 20 Julai 2024 beliau sudah menerima pesanan ringkas (SMS) daripada pihak AirAsia bahawa penerbangannya ditunda ke 5.55 petang pada hari tersebut.

Dakwa beliau, kira-kira 2 petang selepas “check out” dari Hotel Le Meridian Kota Kinabalu, beliau sekali lagi dimaklumkan oleh Air Asia bahawa pernerbangan saya terpaksa ditunda ke 11.30 malam pada 20 Julai 2024.

Tetapi, pada jam 8.55 malam, beliau sekali lagi menerima mesej daripada AirAsia bahawa penerbangan saya BKI-SDK akan ditunda ke 2.10 pagi pada 21 Julai 2024.

“Akan tetapi, pada jam 10.15 malam, 20 Julai 2024, saya dimaklumkan oleh pihak AirAsia bahawa penerbangan saya akan diawalkan ke 1.30 pagi pada 21 Julai 2024. Saya pun tiba di KKIA pada sebelum jam 1 pagi pada 21 Julai 2024.

“Namun, saya betul-betul terkilan apabila staf AirAsia di kaunter mengesahkan bahawa penerbangan AK6498 telah dibatalkan dan segala maklumat mengenai penerbangan hanya akan diketahui dan dimaklumkan kepada semua penumpang pada 7 pagi, 21 Julai 2024.

“Teruk, teruk, teruk kenapa tak maklumkan kepada saya lebih awal? Saya baru sewa sebuah bilik di Promenade Hotel KK untuk mandi & rehat dan “check out” pada jam 12.35 pagi 21 Julai 2024,” katanya dengan nada kecewa dan geram.

Perkongsian itu dibuat melalui hantarannya di Facebook.

Tegasnya, AirAsia sepatutnya memberitahu lebih awal kepada pelanggan jika berlaku masalah supaya para penumpang sepertinya boleh mengambil alternatif lain untuk ke destinasi seperti memandu kereta.

“Kalau tak boleh terbang, beritahu tak boleh terbang. Kami ada cara macam mana nak pergi. Saya tunggu dari jam 2 pagi sampai sekarang tak boleh terbang. Besok pagi pun belum tentu boleh terbang.

“Tak ada pengurusan krisis ke? Eh, jangan susahkan kita. AirAsia tolonglah jaga kebajikan penumpang, kalau ada masalah besar, beritahu kami awal-awal.

“Saya dapati ramai lagi pelanggan AirAsia yang terkandas di KKIA. Kesian mereka. Sekumpulan penumpang yang saya temui di Promenade Hotel marah dengan syarikat penerbangan tersebut yang tidak mengatur sebarang penginapan kepada penumpang yang terkandas selama 2 hari sehingga Isnin depan. Bayangkan …..,” dakwanya lagi.

Akibat daripada penerbangan yang ditunda beberapa kali itu, Ka Siong terpaksa membatalkan programnya di Sandakan yang dijadualkan pada 7 malam, 20 Julai 2024 dan program 10 pagi 21 Julai 2024 kerana masih belum tahu kedudukannya.

“Maaflah kawan-kawan saya yang menunggu saya di Sandakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette