KUALA LUMPUR – Amanah Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial yang didakwa telah membuat memfitnah terhadap pemimpin wanita parti itu, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Pengarah Komunikasinya, Razali Zakaria berkata, pemilik akaun Facebook itu telah menfitnah Aiman dengan mempamerkan poster yang mengaitkannya dengan syarikat minuman keras.
“Laporan polis ini bagi tujuan meminta polis untuk menjalankan siasatan ke atas pemilik-pemilik akaun Facebook itu di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.
Menurutnya lagi, ini adalah laporan polis kedua selepas Amanah Sepang membuat laporan sama semalam berhubung fitnah itu.
Menerusi hantaran di Facebook, dua pemilik akaun di laman sosial itu membuat hantaran poster yang memaparkan gambar Aiman Athirah dan minuman keras.
Pada Jumaat lepas, Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Amanah dilapor telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.
Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Dalam pada itu, Razali turut menyarankan supaya Aiman Athirah yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan mengambil tindakan saman terhadap pemilik akaun Facebook itu bagi mengelakkan fitnah seperti itu berulang.
Tegasnya, fitnah itu bukan hanya memburukkan nama Aiman Athirah tetapi, sebaliknya keseluruhan parti Amanah.
Hadir sama membuat laporan polis itu iaitu Setiausaha Pemuda Amanah, Hafizuddin Razian.
Dalam pada itu Hafizuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pengguna media sosial terbabit berikutan terlalu banyak fitnah terhadap pimpinan kerajaan perpaduan yang dilihat semakin berleluasa.
“Kita tegaskan mohon pihak berkuasa dan pihak terlibat hentikan fitnah disebarkan di Facebook.
“Kenapa nak ganggu-gugat Kerajaan Perpaduan masa ini. Kritik tiada masalah jika fakta betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette