Onn Hafiz (tengah) melancarkan Tabung Palestin UMNO Bahagian Labis selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labis di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, Labis, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018 yang menyaksikan perubahan landskap politik negara perlu dijadikan ikhtibar dan inspirasi untuk bangkit.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semua pihak dalam parti perlu sedar dan insaf dengan kekalahan yang berlaku itu dengan memberi tumpuan mengukuh semula parti tersebut.

“Setiap bahagian pasti ada sejarah dan peristiwa yang menguris hati, namun cukup-cukuplah bersengketa kerana UMNO tidak mampu untuk berpecah-belah lagi.

“Jika ingin UMNO kembali bangkit dan tidak mahu peristiwa hitam tahun 2018 berulang lagi, utamakanlah parti bukan mengutamakan individu. Jadikanlah apa yang berlaku pada 2018 sebagai iktibar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labis di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor melancarkan Tabung Palestin UMNO Bahagian Labis dengan beliau merupakan penyumbang pertama tabung tersebut.

Peralihan kuasa selepas PRU-14 itu iaitu apabila pertama kali selepas lebih enam dekad Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, melihatkan warna-warni politik dengan beberapa parti komponen BN seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meninggalkan gabungan politik itu sebelum berlaku kemelut kepimpinan dalam UMNO.

Malah terdapat beberapa pemimpin kanan UMNO bertindak keluar parti menjadi ahli Parlimen Bebas dan ada dalam kalangan mereka menyertai parti kerajaan.

Onn Hafiz berkata, walaupun UMNO kini menjadi kerajaan tetapi mengingatkan ahli-ahli parti komponen BN khususnya UMNO tidak terlalu selesa dengan situasi semasa.

Sebaliknya kata beliau, perlu sentiasa bersedia mematahkan sebarang bentuk fitnah dan dalam masa sama tidak termakan janji bulan bintang pihak lawan.

“Kita semua kena mengambil iktibar kekalahan BN pada tahun 2018 dulu disebabkan fitnah pihak lawan, tidak ada jalan pintas, kita perlu sentiasa bersedia menangkis serta menjawab segala fitnah serta janji manis yang pasti akan akan berulang menjelang pilihan raya akan datang.

“Kepimpinan UMNO di semua peringkat kena bergerak secara bersasar dalam satu pasukan bagi memastikan bukan sahaja ahli parti, malah pengundi di kawasan mereka bersama-sama kita,” katanya.

Menurutnya, usaha kebangkitan UMNO bergantung kepada tindakan dan bukan apa yang diucapkan semata-mata kerana parti itu perlu jadi juara rakyat Johor melalui pelbagai program menyantuni mereka.

Usaha dan pendekatan tersebut katanya, adalah bagi memastikan UMNO dan BN kekal sebagai kerajaan di negeri ini.

Kata Onn Hafiz, langkah kerajaan sedia ada meluluskan pelbagai projek pembangunan semata-mata bukan satu jaminan rakyat akan bersama UMNO dan BN sekiranya mereka tidak disantuni dengan baik.

Tegasnya, sokongan tidak akan datang hanya dengan kata-kata yang diucapkan tetapi sokongan akan hadir melalui tindakan yang mampu menyentuh hati rakyat secara berterusan.

Beliau berkata, Johor merupakan negeri tunggal di Malaysia yang ditadbir seratus peratus kerajaan BN ketika ini dengan semua barisan Exconya terdiri daripada komponen BN iaitu UMNO, MCA dan MIC.

“Kerajaan negeri Johor seratus peratus kerajaan BN kerana kerajaan sedia ada dibentuk sebelum kerajaan Pusat yang merupakan Kerajaan Perpaduan dibentuk,” ujarnya. – MalaysiaGazette