Bekas pensyarah sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memiliki bahan bacaan, menghasut dan memberi kemudahan menyokong perbuatan pengganas IS.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pensyarah sebuah universiti awam didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan bacaan, menghasut dan memberi kemudahan menyokong perbuatan pengganas Islamic State (IS) antara September 2023 sehingga Jun lalu.

Tertuduh, Abdullah Daud, 70, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes terbabit di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu dituduh telah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan yang berkaitan kumpulan pengganas IS.

Abdullah turut didakwa membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, di sini bagi menggunakan rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di rumah miliknya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, antara 3 September 2023 hingga 14 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdullah didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130G (a) dan Seksyen 130H (a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Dia turut dituduh memiliki dua buah buku yang bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah serta dua buku digital dan dua buah video di dalam telefon bimbit yang merupakan bahan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.

Dalam prosiding sama, seorang kontraktor turut didakwa memiliki item yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Mohamad Awang, 48, yang juga hanya menyatakan faham, apabila pertuduhan itu dibacakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Daya, kira-kira pukul 7.05 pagi pada 23 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan tiada jaminan ditawarkan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan mereka ditahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang didakwa dengan kesalahan keselamatan.

Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap kesemua tertuduh dan Mahkamah menetapkan 18 September depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette