Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Polis telah menghubungi dua individu termasuk seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor yang ditahan kerja bagi merakam keterangan berhubung kes buli siber terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, setakat ini mereka belum hadir untuk memberi keterangan.

“Dua individu terbabit sudah dihubungi untuk membantu siasatan kes ini tapi masih belum tampil memberi keterangan.

“Sehingga kini, masih kekal dua orang yang dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 14 Julai lalu, seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun dirakam keterangan susulan laporan ibu Esha, Puspa P Rajagopal, 56, berhubung buli siber membabitkan anak perempuannya.

Pada 12 Julai lalu, wanita itu hadir membuat laporan polis mengenai dua lelaki serta seorang wanita didakwa memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan anaknya.

Pada 5 Julai lalu, Esha ditemukan maut di kediamannya di Setapak, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan berkenaan juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Susulan itu, kedua-duanya ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 sebelum didakwa di mahkamah, baru-baru ini. – MalaysiaGazette