KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gabungan Pembela Insan Tanahair (GEMPITA) kesal terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa meluluskan permohonan sebuah pusat asuhan kanak-kanak (Taska) yang terlibat dengan kes penderaan.
Pengerusinya, Yusrizal Zainol Abidin berkata, pusat jagaan tersebut tidak mempunyai lesen ketika kes penderaan terhadap seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan.
“Selama dua tahun pusat itu beroperasi tanpa lesen sah dan tanpa dikenakan apa-apa tindakan dari pihak berkuasa.
“Bagaimana perkara sebegini boleh dibiarkan tanpa pemantauan dan tindakan sedangkan taska tersebut beroperasi secara terbuka dengan papan tanda yang besar dan mengiklankan perkhidmatannya di media sosial,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.
Sidang media itu diadakan ekoran kes penderaan yang dibicarakan di mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana huumannya diputuskan pada 14 Jun lalu.
Kejadian itu berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) di dalam daerah Subang Jaya dan pelakunya adalah seorang wanita berumur bawah 21 tahun yang dikategorikan sebagai pesalah muda.
Justeru itu, NGO berkenaan menggesa dan mencadangkan JKM menggantung serta merta pusat asuhan kanak-kanak yang sama berlakunya kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, dan tidak meluluskan lesen pusat asuhan yang terlibat dengan kes penderaan.
“Pihak NGO kami menggesa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat mengkaji semula kes terhadap pusat taska ini serta membuat penilaian semula terhadap kelulusan lesen yang telah diberikan.
“Seharusnya mana-mana pusat taska yang terlibat atau mempunyai sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak harus digantung lesen atau diberikan satu tempoh masa menunggu sebelum kelulusan lesen diberikan,” katanya.
Turut hadir ibubapa kanak-kanak mangsa dera berkenaan bersama-sama peguam mereka.
Menurut ibubapa mangsa, kejadian berlaku sejak dua tahun lalu apabila menyerahkan anak mereka kepada pelaku untuk dijaga di pusat asuhan berkenaan.
Menurut mereka, sepanjang berada di pusat asuhan itu, kejadian kecederaan dan kesan lebam seringkali berlaku ke atas anak mereka.
“Mereka (pihak pengurusan) beritahu anak kami bergaduh dengan anak-anak lain. Semakin lama anak kami mengalami gangguan dan mengigau waktu malam,” kata pasangan tersebut.
Mengulas lanjut, Yusrizal menuntut agar Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 dipinda dan diperketatkan.
“Peraturan yang perlu dikaji semula adalah menetapkan umur pekerja dan penjaga dinaikkan dari 18 tahun kepada 20 tahun dah had umur ditetapkan kepada 50 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette