Azalina (tengah)merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam 2024 di Hotel Ixora di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis mempunyai hak prerogatif untuk mencabar tindakan UMNO di mahkamah berhubung penyertaannya ke dalam Pas.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO Melaka yang bakal menentukan tindakan yang akan dikenakan Muhamad Jailani.

“Muhamad Jailani telah menandatangani ‘aku janji’ menerusi Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15 dan beliau sendiri terlibat dalam proses tersebut.

Azalina.

“Seperti yang disebutkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, ia adalah urusan parti untuk menyelesaikan masalah ini.

“Maksud saya, ia merupakan prerogatif mereka dan hak mereka untuk masuk ke mahkamah, jadi, kita tinggalkan kepada parti di perhubungan UMNO Melaka dan juga pada peguam masing-masing,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa dirinya tidak terikat dengan sebarang perjanjian, apabila mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menyertai Pas.

Media sebelum ini melaporkan UMNO akan memulakan tindakan perundangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang mengesahkan penyertaannya ke dalam Pas selepas digantung keahlian daripada parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuntutan itu akan difailkan selepas Muhamad Jailani dikenal pasti melanggar Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Melaka yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah dan saksi.

Katanya, Muhamad Jailani juga dikenal pasti membuat pelanggaran ke atas akuan bersumpah (SD) ditandatangani beliau yang menetapkan setiap calon mewakili BN perlu membayar RM100 juta seperti dinyatakan pada fasal 6.2, jika melompat parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN, UMNO, MIC dan/atau MCA, termasuk menjadi ADUN Bebas. – MalaysiaGazette